Wednesday, August 17, 2011

SELAMAT MENYAMBUT NUZUL QURAN



Sejarah al-Quran

Antara  peristiwa agung dalam sejarah umat Islam di bulan Ramadan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran.

firman Allah yang bermaksud

Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185) 

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan , bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M di Gua Hira’ tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad saw.

Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Nabi saw. Kita hendaklah beriman dan mempercayai isi kandungan al-Quran. Beriman dengan al-Quran merupakan salah satu dalam Rukun Iman. 

Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.


Nama-Nama Lain

Selain disebut al-Quran, ia  juga disebut al-Kitab, al-Furqan, An-Nur, al-Zikr dan lain-lain. Proses Penurunan al-Quran: Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 23 tahun.13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Kehebatan al-Quran adalah

1.         Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Israa’, ayat 88)

2.         Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.

3.         Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.

4.         Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta  ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “ dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu, selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yang benar.”(al-Baqarah, ayat 23).

5.         Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi saw.

6.         Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia al-Quran secara menyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, kesaktian, keagungan dan keunggulan al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan mendalam  kekal terpelihara hingga kiamat.

7.         Al-Quran sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah berfirman yang bermaksud: “Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.” (al-Baqarah, ayat 2)2

8.         Membaca al-Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah saw bersabda dengan maksud: ‘Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”

  Tuntutan al-Quran: Sesungguhnya al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya. 
  1. Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya.
  2. Hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan.
  3. Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.
   Peringatan: 
  1. Al-Quran untuk dibaca buka dijadikan perhiasan.
  2. Al-Quran tidak menjadi syifa’ (ubat) bagi orang yang ingkar dan zalim.
  3. Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.
  4. Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah al-Quran dengan keizinan Allah.
  5. Pesan Nabi saw: Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku (al-Hadis).
     Semoga Ramadan kali ini membawa rahmat buat kita semua. Amin.

Dr. Abdul Rahman Abdullah
Atase Pendidikan,
MSD Washington DC.
Ramadan 1430 September 2009
  

Petikan diambil dari laman web

No comments:

Post a Comment