Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Ikhlaskah kita? Hurmm.... Ringkas sahaja soalan tersebut, ikhlaskah kita? Bolehkah para pembaca sekalian menjawab persoalan tersebut. Tahukah para pembaca apakah itu ikhlas?
Para pembaca yang budiman, konsep ikhlas ini amat penting dalam kehidupan harian kita kerana ia menjadi penentu kepada samada amalan kita diterima atau ditolak oleh Allah S.W.T.
Maksud ikhlas adalah membuat sesuatu amalan hanya berpaksikan untuk menerima keredhaan Allah, tanpa dicampuri urusan dunia seperti kecenderungan kepada dunia, untuk kepentingan diri, kerana kedudukan, harta benda, supaya dihormati oleh orang ramai, tidak ingin dicela, kesombongan yang terselubung, atau kerana alasan-alasan lain yang tidak terpuji. Yakni, dengan erti kata lain, ikhlas adalah melakukan amalan kerana Allah.
Oleh itu, segala amalan serta jihad, yang kita laksanakan hendaklah berniatkan keikhlasan kepada Allah, dan hanya mengharap akan keredhaanNya. Semua perkataan, amalan dan jihad tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kedudukan terkemuka atau mundur.
Firman Allah swt di dalam surah Al-An’am 162-163 yang bermaksud :
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)"
Sudahkah kalian, para pembaca budiman telah memahami apakah erti itu ikhlas. Jadi, sudahkah terjawab persoalan, ikhlaskah kita? Sebelum saudara serta saudari menjawab persoalan tersebut, saya ingin membawa kalian kepada situasi zaman sekarang.
Ikhlaskah kita? Ikhlaskah kita menghulurkan sedekah kepada fakir miskin? Ikhlaskah kita bertadarus Al-Quran pada bulan Ramadhan yang lalu. Ikhlaskah kita menjalinkan hubungan persahabatan. Dan ikhlaskah kita melaksanakan ibadah puasa serta ibadah-ibadah lain semasa bulan Ramadhan yang lalu.
Seringkali saya pulang ke rumah menaiki bas dari sesuatu destinasi, dan seringkali juga saya melihat situasi yang sama, yakni, suasana peminta sedekah atau panggilan lebih comel baginya iaitu pengemis, mengemis di perhentian bas. Paling menyedihkan, apabila golongan tersebut, menghulurkan tangan meminta sedikit wang, ada dikalangan mereka hanya menjeling tajam, malah ada yang memarahi mereka. Ya Allah, sedangkan Rasulullah S.A.W; kekasih Allah, tidak pernah memarahi serta menghampakan pengemis, inikan pula kita, hanya hamba Allah yang biasa.
Rasulullah S.A.W tidak pernah menghampakan sesiapa sahaja yang datang mengadu masalah kepadanya. Sehinggakan jika orang yang datang itu meminta sesuatu yang tidak dapat Rasulullah S.A.W berikan, Baginda akan menyuruh orang itu mendapatkannya di pasar. Beli secara hutang dan hutang itu akan dibayar oleh Baginda nanti.
Lihatlah pembaca sekali, mengapakah tidak kita mencontohi sikap Rasulullah yang mulia itu. Tinggi pahala orang yang memberi sedekah. Saya sedih melihat apabila mereka menuduh para pengemis ini merupakan dibawah sindiket. Astaga, tidak baik melontarkan tuduhan yang melulu. Cuba kalian fikirkan, masihkah kita ikhlas menghulurkan sedekah apabila terdapat sedikit keraguan didalam hati sanubari kita.
Rezeki datang bergolek wahai para pembaca budiman, itu pun kita tidak mahu ambil peluang. Usahlah difikir samada mereka dari sindiket ke apa, hulur sahaja, dengan berpaksikan niat kerana Allah. Lebih sedih apabila saya lihat, budaya memberi sedekah hanya direlakan pada bulan Ramadhan, berpaksikan sebab beramal di bulan Ramadhan lebih tinggi ganjaran pahalanya. Aduh, memberi sedekah semata-mata ganjaran pahala? Ikhlaskah bersedekah tuh? Kemana perginya niat kerana Allah.
Situasi sama juga dengan perihal bertadarus al-Quran, bersolat, menjalinkan hubungan persahabatan dan lain-lain lagi. Mengapakah hanya bertadarus al-Quran hanya pada bulan Ramadhan, sedangkan pada bulan-bulan lain seperti Muharram, Safar, Rabi’ul Awal, Rabi’ul Akhir, Jumadil Awal, Jumadil Akhir, Rajab, Sya’ban, Syawal, Dzulkhaidah dan Dzulhijjah, tidak tersentuhnya kitab tersebut, apatah lagi membacanya? Sama juga dalam solat serta amalan lain.
Sekian,
wabillahi taufik walhidayah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
(Maaf jika terkasar bahasa ataw terdapat sedikit kesalahan disini, jika ada yang salah, tolong komen dan beritahu saya, saya seorang yang baru belajar dan ilmu yang kurang, insyaallah.)
No comments:
Post a Comment